27 November 2017 - 15:36
40,000 Penduduk Bali Dipindahkan

Agensi Bencana Indonesia berkata seramai 40,000 daripada 100,000 penduduk yang berada dalam lingkungan zon berbahaya gunung berapi Gunung Agung, di Bali sudah dipindahkan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Agensi Bencana Indonesia berkata seramai 40,000 daripada 100,000 penduduk yang berada dalam lingkungan zon berbahaya gunung berapi Gunung Agung, di Bali sudah dipindahkan.

Namun, berpuluh ribu lagi akan dipindahkan selepas amaran mengenai letupan besar dikeluarkan hari ini.

"Kami sangat berharap penduduk di zon bahaya berpindah serta-merta kerana kemungkinan letupan lebih besar akan berlaku," kata seorang jurucakap bagi agensi bencana Indonesia (BNPB), Sutopo.

Dalam satu taklimat ringkas, beliau berkata seramai 40,000 orang daripada kira-kira 90,000 hingga 100,000 penduduk sudah dipindahkan keluar dari lingkungan 8 hingga 10 kilometer zon pengecualian sekitar Gunung Agung.

"Tidak semua penduduk sudah berpindah. Masih ada yang enggan kerana haiwan ternakan mereka tidak dipindahkan lagi.

"Malah ada di antara mereka masih merasa selamat," katanya sambil menambah anggota keselamatan sedang memujuk orang ramai untuk berpindah, walaupun mereka boleh dipindahkan secara paksa. - REUTERS.